Keluargaku Hidupku

Pada masa ini, kemodenan telah menghanyutkan kita jauh dari kesedaran mengenai betapa pentingnya institusi kekeluargaan. Apakah itu keluarga? Bagi saya keluarga bolehlah di bahagikan kepada dua iaitu keluarga primer; terdiri dari ibu-bapa, anak-anak dan adik beradik, keluarga sekunder; terdiri dari datuk, nenek, pakcik saudara, makcik saudara, sepupu, anak saudara dan yang seangkatan dengannya.

Melihat kepada corak kehidupan rakyat Malaysia yang semakin melupakan betapa pentingnya keluarga mereka amatlah menakutkan saya. Lebih mementingkan kerja, wang ringgit dan rakan-rakan yang sememangnya tidak kekal ke mana pun. Bukanlah niat saya untuk menafikan kepentingan kerja, wang ringgit dan rakan-rakan. Tetapi keluarga haruslah diberi keutamaan dan diletakkan pada aras yang tertinggi sekali. Hancurnya keluarga bermakna hancurlah kehidupan, tidak kira di mana anda berada dalam hirarki kekeluargaan anda; sebagai bapa, ibu ataupun sebagai anak.

24 tahun saya menjalani kehidupan sebagai makhluk yang bernama manusia; diberi mata untuk melihat, telah menyaksikan di depan mata sendiri hancur dan porak perandanya hidup insan lain akibat porak perandanya institusi keluarga mereka. Segelintir dari mereka adalah kawan-kawan saya sendiri yang mempunyai kelulusan yang tinggi, pekerjaan yang gah, gaji yang lumayan tetapi tiada rona-rona kegembiraan terpancar di wajah. Yang ada hanya wajah-wajah murung dan sedih kerana tidak mendapat perhatian dan kasih sayang dari ibu-bapa mereka. Kejayan yang mereka kecapi langsung tidak dapat dikongsi bersama insan yang tersayang lantaran kesibukan ibu-bapa mereka mengejar kekayaan dunia. Cuba melindungi kesedihan di hati dengan mencari kegembiraan pada rakan-rakan sebaya yang belum tentu boleh membimbing mereka pada jalan yang elok. Yang menanti adalah kehancuran jua. Yang paling menakutkan, ianya akan membawa mereka ke lembah gelap dan hina.

Ibu-bapa memainkan peranan yang terpenting sekali dalam institusi kekeluargaan. Janganlah menganggap apabila anak anda sudah tamat persekolahan dan mula bekerja maka tamatlah tanggungjawab mendidik mereka. Cukup dengan berkata “Aku dah beri kau didikan agama, aku dah hantar kau belajar tinggi-tinggi dan sekarang kau dah besar. Dah boleh berfikir. Aku tak mahu lagi ambil tahu apa yang kau nak buat. Kau buatlah apa yang kau rasa terbaik untuk diri kau“. Tidakkah anda (ibu-bapa) sedar, pada usia anak-anak baru hendak mencecah tahap dewasa merupakan masa yang penuh dengan pancaroba. Senang terpengaruh dengan tipu daya dunia. Bimbingan dari anda (ibu-bapa) membantu mencorak mereka menjadi insan yang berguna ataupun syaitan yang durjana.
Teringat kata-kata seorang ustaz di satu kuliah maghrib yang pernah saya hadiri, beliau berkata “Keluarga yang bahagia membentuk kehidupan yang harmoni… Hargailah ibu-bapa anda dan anak-anak anda sebelum terlambat. Sayangilah mereka ketika mereka masih hidup. Bila mereka sudah tiada, segala-galanya sudah tidak bermakna. Wang ringgit berkoyan-koyan, tangis darah tak mampu menghidupkan mereka kembali“. Terasa kebenarannya…
Kau boleh dapatkan entri terkini lebih pantas dengan melanggan RSS Feed. Untuk mengetahui aktiviti aku secara langsung, kau ikut saja aku melalui Twitter.

Entri Yang Mungkin Berkaitan

Tuliskan Komen Kau

XHTML: Gunakan Tags Ini Jika Perlu: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>